Monday, November 5, 2012

Dari Tangan Mereka PALESTIN Dibebaskan: Sultan Saifuddin Qutuz

 
Sejarah kembalinya Palestin ke tangan orang Islam diteroka dan ditinjau, sebenarnya diteraju oleh pemimpin yang terdiri dari orang yang terlebih dahulu berjaya membebaskan dirinya dari penghambaan kepada nafsu mahupun mana-mana perkara yang tidak selayaknya disembah melainkan Allah Taala. Ini kerana, bagaimana kita mampu menewaskan musuh yang nyata sekiranya kita sendiri kalah dengan musuh yang menghuni diri kita sendiri. Demikian itu, kita saksikan hari ini di Palestin, Israel terus menggasak kerana percaya bahawa umumnya dunia Islam masih belum berhijrah memperbaiki diri dan mudah diperbudakkan ibarat lembu yang dicucuk hidungnya.

“Perbaiki cela yang ada pada diri, baharulah kamu mampu memperbaiki cela orang lain...”; Inilah rumus kemenangan umat Islam ke atas tentera-tentera anak cucu Genghiz Khan (tentera Tatar) di Ayn Jalut, Palestin. Ketika seluruh peta Islam jatuh ke pesta pembunuhan yang dilakukan tentera-tentera Tatar, Sultan Saifuddin Qutuz telah berjaya menewaskan mereka yang kelaparan darah para mujahidin.

Apakah kaedah yang digunakan oleh Qutuz?

Sebelum Qutuz membawa bala tenteranya ke medan perang, beliau terlebih dahulu menyisihkan pemimpin yang korup dan memerangi penguasa umat Islam yang kecundang dengan nafsu.
Qutuz pernah melaungkan kata-katanya kepada penguasa yang bertuankan hawa nafsu, “Wahai pemimpin umat Islam! Kamu diberi gaji dari baitul maal sedangkan kamu benci untuk berperang, kamu tidak mempertahankan maruah Islam! Aku ingin berhadapan kepada Allah dan Rasul-Nya dalam keadaan mempertahankan agama, maka sesiapa di antara kamu memilih untuk berjihad, temani aku. Dan sesiapa memilih untuk enggan berjihad, pulanglah ke rumah. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan dosa kehormatan Muslimin yang akan ditanggungnya oleh orang yang tidak turut berjihad...”.

Dari hal itu, Qutuz telah mendahulukan harta kerajaan untuk diinfaqkan ke medan jihad, sebelum meminta kerahan hasil baitul maal dan harta rakyat jelata disumbangkan.

Qutuz turut melakukan pengislahan terhadap politik negara yang ketika itu tidak stabil dengan ketamakan dan perebutan kuasa yang berlaku di antara penyokong Turansyah (cucu Al Marhum Sultan Salahuddin Al Ayyubi), penyokong Syajaratud Durr, penyokong Sultan An Nasir Yusuf di Syam dan penyokong Sultan ‘Aizzudin Aibaq. Qutuz menghentikan permusuhan yang berlaku antara Mamluk Bahriyyah dan Mamluk Mu’izziah, serta mengeratkan hubungan Mesir dan Syam yang sebelum ini tegang dengan persengketaan di antara ‘kem’ Ayyubiyah dengan ‘kem’ Mamluk. Orang-orang Ayyubiyah menganggap orang Mamluk tidak berhak memerintah Mesir kerana mereka dari golongan hamba.

Qutuz turut menjernihkan perbalahan antara penyokong Khawarizmiyyah dengan penyokong Abbasiyyah yang pernah dihangatkan dengan api permusuhan doktrin dan aliran.

Qutuz juga meninggikan institusi ulama’ sebagai organisasi tertinggi di dalam kerajaannya, di mana Sultanul Ulama’ Sheikh ‘Izziddin Abd Salam dijadikan penasihatnya dalam semua keputusan kerajaannya. Demikian itu, baharulah Allah Taala memberikan kemenangan kepada Qutuz di Ayn Jalut, bertepatan dengan syarat kemenangan-Nya :

“...Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; Sesungguhnya Allah akan membatalkan (kemenangan), adapun Allah tidak akan memberikan kebaikan (kemenangan) kepada orang-orang yang melakukan kerosakan. Dan Allah akan mengukuhkan kebenaran dengan ketetapanNya, walaupun orang-orang yang membuat dosa tidak menyukai” - Surah Yunus:81, al Quranul Karim
 
Allah akan membatalkan kemenangan dan memberikan kepalsuan kepada orang yang melakukan kerosakan. Dan kemenangan dari Allah hanya akan diberi bila syarat-syarat telah terpenuhi apabila syariat-Nya dijaga.

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online