Tuesday, February 22, 2011

12 Jaminan PAS untuk Malaysia Baru

PAS dalam usahanya mewujudkan sebuah Malaysia Baru yang mengangkat martabat kaum Melayu dan Islam, hari ini memberikan jaminan istimewa terhadap dua belas perkara untuk rakyat Malaysia.

Dua belas jaminan ini terkandung dalam resolusi Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa; Jaminan PAS yang berlangsung sehari di Auditorium MBSA, dekat sini.

Berikut adalah dua belas resolusi yang dibentangkan oleh Naib Presiden PAS selaku Pengarah Konvensyen, Datuk Mahfuz Omar.



















PAS sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam memberi jaminan bahawa:

1. PAS tetap komited untuk melaksanakan agenda pengupayaan bangsa Melayu dan Bumiputera berteraskan prinsip-prinsip di atas;

2. PAS akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia;

3. PAS tetap beristiqamah untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha mengupayakan Melayu;

4. PAS akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa Melayu berkiblatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah;

5. PAS tetap mengutamakan perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapat rendah yang sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera;

6. PAS akan terus mempertahankan konsep ketuanan rakyat yang berpaksikan keadilan Islam dengan jaminan saksama kepada kaum-kaum lain;

7. PAS tetap memperjuangkan dasar-dasar affirmative yang berasaskan siapa yang berkeperluan (need based) sesuai dengan matlamat keadilan Islam;

8. PAS akan terus komited untuk menampilkan kepimpinan Melayu yang bebas rasuah dan penyelewengan di semua peringkat kepimpinan bermula dari kepimpinan Negara sehingga kepimpinan komuniti;

9. PAS tetap mempertahankan tanah-tanah rizab Melayu, tanah-tanah adat, kampung-kampung tradisi dan penempatan-penempatan yang mempunyai kepentingan Melayu dan Bumiputera seperti Felda, malah berusaha menjadikannya sebagai penyumbang terpenting kekuatan ekonomi Melayu;

10. PAS akan terus mempertahankan warisan Melayu selagi mana tidak bertentangan dengan syarak, sebagai khazanah penting kepada generasi Melayu akan datang;

11. PAS tetap mempertahankan pendidikan vernakular yang telah memberi ruang kepada kewujudan sekolah agama rakyat, madrasah dan sekolah pondok, di samping tidak menolak kepentingan elemen integrasi nasional diterapkan dalam sistem pendidikan dan;

12. PAS akan terus berusaha memasakkan jatidiri berteraskan Islam kepada generasi muda Melayu kerana mereka merupakan teras kepada pengupayaan bangsa Melayu dan waris kepimpinan akan datang.

Sementara itu dalam ucapannya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, dasar dan pendekatan Pengupayaan Bangsa - Jaminan PAS telah dibentangkannya untuk tatapan semua.

"Masa telah sampai untuk kita menggemblengkan seluruh tenaga dan sumber bagi mengangkat martabat umat Islam, mendayakan bangsa Melayu dan melahirkan Politik Lita'arafu yakni Politik Saling Menghormati.

"Semua usaha ini adalah bagi melahirkan sebuah Malaysia baru yang menjunjung tinggi tuntutan Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua yang bebas rasuuah, kezaliman dan penyelewengan kuasa.

Dipetik dari sumber Harakahdaily.net





No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online