Friday, May 20, 2011

KEDUDUKAN AL QUDS DI DALAM ISLAM - Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Allah Taala berfirman sebagaimana maksudnya,"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". (Al Isra':1)

Masjid Al Aqsa yakni Masjid Baitul Maqdis, dinamakan dengan - AL AQSA - kerana ia adalah masjid yang paling jauh untuk diziarahi dan diharapkan untuk mendapat pahala menziarahinya, kelebihannya selepas daripada Masjid Al Haram.

Imam Ibnu Kathir menyebut dalam kitabnya,'Al Bidayah wa An Nihayah' - Daripada Abu Dzar telah berkata,"Aku berkata; Apakah masjid pertama yang dibina di muka bumi ini? Jawab Rasulullah S.A.W : Masjidil Haram! Aku bertanya lagi: Sesudah itu masjid apa? Jawab Baginda: Masjidil Aqsa! Aku bertanya lagi: Berapa lamakah jarak antara kedua masjid itu dibangunkan? Jawab baginda: Empat puluh (40) tahun. Aku bertanya lagi: Kemudian masjid apa pula? Rasulullah menjawab: Dan di mana sahaja kamu berada jika waktu solat telah tiba, maka solatlah (segera) kerana di situlah masjid (bumi sebagai masjid dan tempat sujud)".

Di sisi ahlu al Kitab pula bahawa Nabi Yaakob A.S adalah pengasas kepada Masjidil Al Aqsa iaitu Masjid Ilya di Baitul Maqdis, ini adalah berasaskan kepada hadis yang telah kami sebut. Maka berdasarkan kepada fakta ini pembinaan yang dilakukan oleh Nabi Yaakob yang juga dikenali sebagai Israel adalah selepas pembinaan Masjid Al Haram yang dilakukan oleh Al Khalil Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Baginda berdua membinanya selepas kelahiran Nabi Ishak sebagaimana yang disebut di dalam doa Nabi Ibrahim menerusi firman Allah Taala yang bermaksud,"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat). Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah! Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan. Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" (Ibrahim:35-41)

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,"Engkau lihat aku di Hijr sedangkan Quraish bertanya kepada aku berkenaan tempat aku diperjalankan pada waktu malam, Masjidl Al Aqsa, mereka bertanyakan aku berkenaan benda-benda di Masjidil Al Aqsa menyebabkan aku amat tertekan yang tidak pernah aku alami sebelum ini. Lalu Allah menjelmakannya di hadapan sehingga aku dapat lihatnya dengan jelas, setiap kali mereka bertanyakan aku berkenaan dengannya maka aku terus menjawabnya. Ketika itu (isra') aku telah melihat diriku bersama-sama dengan satu kumpulan dari kalangan anbiya', aku lihat Nabi Musa A.S sedang solat dalam keadaan berdiri, dia adalah seorang yang gagah. Aku lihat Nabi Isa A.S sedang solat dalam keadaan berdiri, rupanya tersangat hampir dengan Urwah bin Mas'ud At Thaqafi. Aku juga melihat Nabi Ibrahim A.S sedang solat dalam keadaan berdiri, rupanya tersangat hampir denganku, kemudian tibanya waktu solat dan aku mengimamkan mereka" (Diriwayatkan oleh Muslim dan An Nasa'ie)

Nas-nas Al Quran dan hadis nabawi serta kitab-kitab samawiyyah yang sahih menunjukkan bahawa Baitul Maqdis adalah berpaksikan dengan Islam, semua anbiya' yang berhijrah ke Palestin atau yang lahir dan mengimarahkan Baitul Maqdis adalah orang Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud,"...Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik" (Ali Imran:67)

Dan firman-Nya lagi,"Katakanlah (wahai Muhammad): Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)". (Ali Imran:84)

Apabila orang-orang Islam membuka Baitul Maqdis di zaman Saidina Umar Al Khattab R.A, kerajaan Islam pada ketika itu telah memberikan hak-hak yang berkait dengan keagamaan kepada penganut-penganut agama yang mempunyai asas dan kedudukan agama di situ. Bandar tersebut mempunyai kesuciannya dan kesuciannya itu adalah untuk semua umat-umat yang mempunyai risalah samawiyyah - Agama Yahudi dan Nasrani - Dengan ini tidak boleh sama sekali mana-mana agama memonopolinya denagan menyisihkan penganut-penganut agama yang lain. Ini adalah perintah Allah di dalam Al Quran,"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa". (Al Hajj:40)

Di sini disertakan juga bukti dan fakta sejarah samaada dalam ucapan, praktikal dan bertulis yang telah diberikan oleh Amirul Mukminin Umar ibn Al Khattab R.A kepada penduduk Al Quds dan dasar ini diteruskan oleh khalifah-khalifah selepasnya. Dia pernah berucap di khalayak ramai,"Wahai penduduk Ilya' bagi kamu apa yang kami miliki dan ke atas kamu apa yang kena ke atas kami".

Adapun dari sudut praktikal pula, Khalifah Umar Al Khattab menyambut jemputan daripada orang Kristian untuk menziarahinya lalu tibanya waktu solat lantas beliau berpaling kepada Batrik (Paderi) dan berkata,"Di manakah aku boleh melakukan solat? Dia berkata: Sembahyanglah di tempat kamu berdiri. Lalu Umar berkata: Tidak sayugia bagi Umar untuk solat di Gereja Qiyamah, maka selepas ini orang-orang Islam akan berkata, di sinilah Umar solat lalu mereka membina masjid di situ".

Kemudian Umar melaksanakan solat di tempat lain, tidak jauh daripada Gereja Qiyamah dan di situlah orang Islam membina masjid. Kemudian Umar Al Khattab bertanya kepada Paderi tersebut di manakah kedudukan Al Aqsa? Setelah itu ditunjukkan kepada beliau dan dilihat oleh Umar tempat tersebut dipenuhi dengan sampah sarap lalu dibersihkannya dengan sebersih-bersihnya dan dibina di atasnya masjid.

Adapun bukti bertulis pula ialah :

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang; inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin keamanan kepada penduduk Ilya. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadah mereka samaada yang elok atau rosak dan kepada seluruh penganut bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka samaada pada tubuh badan atau harta benda. Dan mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Ilya".

"Menjadi kewajipan ke atas penduduk Ilya untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lai membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan oran Rom dan perompak, maka sesiapa dari kalngan mereka yang keluar maka dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Dan sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Ilya".

"Sesiapa dari kalangan penduduk Ilya yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Ilya dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka".

Watiqah ini ditulis dan dihadiri pada tahu 15H oleh Umar Al Khattab, manakala para saksi terdiri daripada Khalid bin Al Walid, Amru bin Al 'As, Abdul Rahman bin Auf, Muawiyah bin Abi Sufyan.

Meskipun Islam mendakwa Al Quds adalah milik orang Islam akan tetapi kebebasan agama kepada orang bukan Islam adalah satu kewajipan di dalam agama. Adapun halangan terhadap orang Yahudi untuk menghuni di situ ialah kerana pada waktu itu belum ada lagi orang Yahudi ketika orang Islam membukanya, ini kerana orang Nasrani mengharamkan ke atas orang Yahudi untuk menghuni koa-kota suci.

Sejarah telah membuktikan kesetiaan umat Islam akan tanggungjawab ini dan keredhaan orang Nasrani yang tulen terhadap'Negara Islam' dan mereka bersama-sama dengan orang Islam ketika perang-perang salib dan sekarang mereka bersama-sama di dalam mempertahankan isu Palestin. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud,"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong" (Al Maidah:82)

Kedudukan ini tidak tedapat di dalam sejarah orang Yahudi dan Nasrani di zaman pemerintahan Rom yang memerintah (di Palestin). Dan sekarang ini negara Zionis memberikan keutamaan penguasaan ke atas Al Quds dengan strategi menguasai tanah dan tempat tinggal dan memberikannya kepada orang Yahudi yang datang ke Al Quds untuk meruntuhkannya dan membina di atasnya negara Zionis. Strategi ini dilindungi oleh undang-undang, kekuatan dan kepungan. Dan mereka juga berusaha untuk meruntuhkan Al Aqsa dengan lubang dan terowong yang digali.

Semenjak tahun 1967 sehingga sekarang sudah mencecah seratus lebih pencerobohan yang dilakukan ke atas Masjid Al Aqsa meskipun di sana terdapat perjanjian dan persetujuan untuk memeliharanya. Kemuncak kepada pencerobohan ini adalah keputusan 181 oleh PBB pada 29 November 1948 yang menetapkan bahawa wilayah Al Quds adalah wilayah antarabangsa dengan pengisytiharan oleh negara Zionis bahawa Al Quds adalah ibu negara kepada negara yang didakwa oleh mereka serta memanggil negara-negara besar dan negara-negara yang bersama-sama mereka supaya memindahkan kedutaan-kedutaan mereka ke Al Quds. Bukankah ini semua adalah operasi rompakan atau lanun politik?

Petikan dari buku karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 'PALESTIN : Daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan'.

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online