Tuesday, June 7, 2011

Saya Ada Pasukan Yang Kuat - Presiden PAS


"Saya lihat saya mempunyai pasukan yang kuat," tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara khas webtv sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-57 di Taman Melewar Gombak, ketika diminta mengulas mengenai saf kepimpinan baru.

Beliau juga tidak menafikan pemilihan banyak muka baru dalam saf kepimpinan baru kali ini banyak dipengaruhi oleh cabaran pada PRU13 akan datang.

"Saya berasa bangga apabila menyaksikan pemimpin PAS boleh duduk bersama-sama dan bermesra di atas pentas.

"Apapun asas kepada pemilihan tersebut dapat dilihat sebagai tanda bahawa rakyat bawahan perlu kepada kepimpinan yang berdepan dengan rakyat untuk menghadapi apa jua masalah," tegasnya lagi.

Abdul Hadi menyifatkan kesemua pemimpin sebagai ruh parti yang sangat kuat, katanya saf kepimpinan ini menunjukkan kesepaduan antara semua latarbelakang pimpinan.

"Kita perlu melihat perkara-perkara ini secara kolektif dan bukan secara individu," ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata penganjuran Muktamar PAS di saat negara mungkin menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa sahaja membuktikan PAS kini telah bersedia untuk berdepan dengan agenda besar itu.

"Kita wajib bersedia untuk menghadapi PRU13 dan kita telah bersedia untuk menang dan mengisi kemenangan," katanya.

Tambahnya, dengan pengalaman dan kekuatan yang ada perkara tersebut dapat direalisasikan selepas kemenangan dicapai.

"Antara yang menjadi panduan dan rujukan kita ialah manifesto yang bersifat sebagai rangka kerja untuk mengisi kemenangan kelak.

Ketika diajukan persoalan mengenai latar belakang kepimpinan yang baru - lebih cenderung ke arah bidang profesional, beliau menegaskan ianya telah berlaku sejak tahun 1951 lagi.

"Perkara tersebut bukanlah baru di dalam PAS, kita tidak hanya meletakkan golongan tertentu bahkan penglibatan semua latar belakang pendidikan terdapat di dalam PAS.

"Kita juga masih mempunyai kuota yang boleh melantik ulama selepas ini," ujarnya.

Pada masa yang sama, ahli parlimen Marang itu menjelaskan tindakan PAS dalam Pakatan Rakyat dalam persiapan menghadapi PRU13.

"PAS akan memperkasakan dirinya dengan melumatkan program dan strategi yang khusus serta menyusun saf kepimpinan baru dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online