Tuesday, October 11, 2011

Perlunya Mengetahui Hakikat Jahiliyah

Sesiapa yang ingin menghayati Islam dalam kehidupannya dan memperhambakan diri kepada Allah perlu mengetahui hakikat jahiliyah seperti diterangkan di atas. Jahiliyah yang meliputi pemikiran, aliran perancangan dan segala cacat cela serta bahayanya agar terselamat dan terpelihara daripada tipu dayanya. Dengan itu dapatlah seseorang itu membuat persediaan dan kelengkapan yang perlu untuk menentang dan menghadapinya.




Manusia yang inginkan Islam mestilah meninggalkan diri dan memisahkan jiwa daripada cara hidup jahiliyah. Dia hendaklah memulakan perjalanan hidup baru bersama Islam. Perjalanan hidup yang bebas daripada tekanan nilai jahiliyah samada dalam bentuk konsep adat istiadat, tradisi mahupun pimpinan.


Satu perkara yang penting terutama di peringkat awal dakwah dan pendidikan untuk menghayati Islam ialah manusia perlu membersih dan memutuskan jiwa daripada sebarang campur aduk dan pencemaran antara Islam dengan jahiliyah. Dakwah Islam sekali-kali tidak menerima sebarang tolak ansur dengan jahiliyah atau mematuhi jahiliyah. Tidak pernah terdapat titik pertemuan di antara Islam dengan jahiliyah. Yang dikehendaki ialah meninggalkan sepenuhnya suasana, adat, tradisi, pemikiran dan konsep jahiliyah. Juga yang dikehendaki ialah tertegak sepenuhnya pemahaman Islam dan praktik hidup Islam di bawah pimpinan Islam, di mana seluruh ketaatan serta penglibatan tertumpu kepada Islam.

Kewujudan Jahiliyah Merata

Jahiliyah sekarang dan pada setiap zaman tetap menolak hukum Allah SWT inilah antara pengenalan jahiliyah di setiap tempat, keadaan dan jenis masyarakat. Jahiliyah berada dalam segenap kemajuan dunia sama ada dalam pemikiran, politik, sosial mahupun ekonomi. Apabila manusia enggan menghubungkan diri dengan Allah maka di situ terdapat jahiliyah. Dewasa ini manusia telah dikongkong oleh jahiliyah yang amat pekat sehingga perkara yang dianggap sebagai aktiviti Islam pun diasaskan atas jahiliyah.

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online