Friday, October 14, 2011

Semoga Bob Lokman Diberikan Kekuatan Untuk Terus Berdakwah


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
SEMOGA BOB LOKMAN DIBERIKAN KEKUATAN UNTUK TERUS BERDAKWAH
15 Dzu al-Kaedah 1432 / 13 Oktober 2011
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melahirkan rasa simpati di atas apa yang menimpa Bob Lokman, seorang bekas artis terkenal yang telah menjadi pendakwah dan telah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) beberapa hari lepas.
Bagi DPPWP, Bob Lokman adalah contoh seorang insan yang tabah, ikhlas dan berani untuk berdakwah kepada masyarakat tanpa menghiraukan sebarang risiko yang menimpa dirinya. DPPWP percaya umat Islam turut bersimpati dan kagum di atas keberanian yang ditunjukkan oleh Bob Lokman. Beliau sanggup  membuang latar belakang hidupnya yang penuh dengan warna warni populariti dan kemewahan hanya semata-mata untuk terjun ke lapangan dakwah.

DPPWP sedih kerana dalam keadaan masyarakat yang serba jahil, jauh daripada agama, candu kepada hiburan, memuja artis dan hidup dalam keadaan lalai, insan ini pula dikenakan tindakan. DPPWP bimbang, kerana kesan daripada isu ini akan menyebabkan pendakwah-pendakwah seperti Bob Lokman dan lain-lainnya tidak berani tampil ke depan kerana takut diambil tindakan.
Kesalahan beliau sehingga ditangkap hanya kerana tiada tauliah mengajar. Beliau pula hadir kerana dijemput oleh masyarakat, bukan memandai-mandai meminta untuk berceramah. Masyarakat yang mengiktiraf kebolehan dan kemampuan beliau. Sepatutnya beliau diberi ruang oleh pihak berkuasa unuk menyampaikan pengisiannya.
Pengisiannya pula berkisar kepada pengalaman hidup beliau bergelumang dengan dunia hiburan serta bagaimana beliau boleh berubah. Dalam pengalaman DPPWP bersama beliau, tidak ada langsung unsur politik kepartian dan boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat dalam setiap isi ceramah beliau. Beliau juga bukan mengajar ilmu berkaitan fiqh dan hukum agama. Beliau hanya memberi nasihat dan tazkirah agar masyarakat menjadi baik.
DPPWP mengharapkan agar Bob Lokman sentiasa diberikan kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi segala mehnah yang berlaku. Anggaplah ia sebagai ujian dan ranjau yang sentiasa membentengi disepanjang jalan dakwah.
Disediakan oleh;
MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online