Thursday, June 21, 2012

Semangat Kebangsaan Yang Dibenarkan Islam

Adapun kecintaan kepada bangsa sekadar perasaan fitrah yang dikawal sikap kesaksamaan dan batas keadilan, meletakkan Islam dan akhlak yang luhur menjadi penyelamat bangsa. Menyelamatkan bangsa yang terpesong dan mundur tidak menjadi kesalahan bahkan menjadi anak bangsa yang mulia, manakala membela bangsa sendiri atas dasar kezaliman, penipuan dan pencerobohan maka ia tetap dinamakan zalim juga.

Ibnu Khaldun menegaskan dalam kitabnya yang terkenal “al Muqaddimah”, “Kepimpinan negara hendaklah daripada kalangan kaum yang terkuat pengaruhnya.”

Para ulama siyasah syar’iyyah menegaskan bahawa sabda Rasulullah S.A.W, “Pemimpin-pemimpin hendaklah daripada kalangan kabilah Quraish.”

Adalah hadis ini yang berhubung dengan sebab yang khusus yang menerima perubahan. Ia tepat dengan firman Allah Taala :

“(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian – kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling, Dia (Allah) akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” – Surah Muhammad:38



Apabila bangsa Arab yang beragama Islam lemah berpegang dengan Islam dan berjihad maka Allah menukar kepimpinan kepada bangsa lain yang menganut Islam yang mempunyai asabiyyah kaum yang lebih kuat, berpegang dengan ajaran Islam dan berilmu.

Kepimpinan negara Islam tidak tertentu kapada satu-satu bangsa, bukan sahaja kepada bangsa Arab di zaman Khulafa’ ar Rasyidin, Umawiyyah dan Abbasiyah. Kerajaan Ayubiyyah pula sultannya daripada bangsa Kurdis dan Uthmaniyah daripada bangsa Turki.

Adapun di Malaysia hari ini semua kaum menerima Melayu adalah kumpulan majoriti yang menjadi teras kepada rakyat masyarakat majmuk dan mereka beragama Islam, kelemahannya ialah orang Melayu dipengaruhi oleh fahaman nasionalisme dan sekularisme yang menjauhkan mereka daripada agama Islam sehingga mereka menjadi bangsa yang lemah dalam tanahair sendiri. Bagi menjamin kepimpinan yang sepatutnya mereka warisi, maka hendaklah kembali kepada Islam mengikut cara amalan menyeluruh, mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya kaum lain menganut Islam dan berpegang dengan ajarannya maka perubahan kepimpinan berlaku seperti yang dinyatakan oleh al Quran.

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online