Sunday, June 6, 2010

Tamrin Ghafar juga membantah lesen judi...

...........................................................................................................

( Sebahagian isi kandungan surat beliau kepada Jamil Khir,

Judi bola: Surat terbuka Tamrin untuk Jamil Khir)


Saya ingin mengingatkan bahawa satu kemungkaran boleh menjadi ‘mata rantai’ kepada kemungkaran yang lain. Justeru, judi atas apa jua jenis dan bentuknya akan menyebabkan berlakunya beberapa keburukan yang berikut:


i) KUCAR – KACIRNYA INSTITUSI RUMAH TANGGA

Akan berlaku krisis antara suami isteri akibat habisnya wang belanja keperluan rumah untuk berjudi. Anak-anak akan menderita akibat krisis rumah tangga.


ii) BELUNGGU HUTANG

Orang yang berjudi tidak pernah senang. Ramai yang terpaksa berhutang kerana memburu kemenangan yang tidak pernah datang. Tidak mustahil ada yang akan kembali mencari Along untuk berhutang.


iii) PERJUDIAN SECARA ONLINE OLEH KANAK-KANAK

Ia sudah pasti akan mendorong kanak-kanak di bawah umur turut terlibat tanpa dapat diawasi oleh ibu-bapa mereka, apatah lagi kalau ibu-bapa mereka sendiri terlibat. Duit ibu bapa akan di curi jika mereka tidak mencuri di luar. Dalam erti kata yang lain ianya akhirnya akan mendorong kanak-kanak menjadi pencuri dan lain-lain kegiatan tidak bermoral.


iv) KUALITI DAN PRODUKTIVITI MENURUN

Budaya berjudi akan menyebabkan kelembapan dalam kerja dan usaha kita dalam usaha menjadi negara maju dengan acuan tersendiri. Kalau dulu ada yang leka menonton bola sepak secara keterlaluan, kini keadaan bertambah buruk apabila ketagihan judi bola sepak pula menular. Dan ada yang mula terbiasa dengan cara mencari keuntungan secara singkat dan cepat tanpa usaha dan mempertingkatkan kemahiran diri.


Yang untung dalam hal perjudian ini amat kecil dan oleh segelintir individu yang kecil pula. Yang rugi dan menderita akhirnya kelak terlalu ramai di samping kita mendapat kemurkaan Allah.


Itulah beberapa hikmah mengapa judi diharamkan Allah swt. Ia adalah hukum yang telah disepakati secara Ijmak’ oleh para ulama. Malangnya tidak ramai tokoh agama seperti Mufti Perak yang berani menegur secara terbuka tindakan Kerajaan ini. Umat Islam tertanya tanya mengapakah Majlis Fatwa Kebangsaan membisu seribu bahasa dalam perkara yang amat penting ini sepertimana mereka membisu dalam isu Kerajaan membayar RM77 juta kepada Apco, sebuah syarikat Zionis Yahudi yang mana seluruh dunia tahu mereka membunuh dan berlaku kejam terhadap umat Islam di bumi Palestin dan merampas Tanah Suci Baitul Muqaddis.


Lihat saja pasport antarabangsa kita hanya sebuah negara saja yang kita rakyat Malaysia tidak boleh lawati ia itu Israel. Apakah mereka juga berfungsi seperti media cetak dan elektronik aliran perdana yang seolah-olah telah mendapat arahan tidak resmi untuk menenggelamkan isu ini?


Justeru, dengan rendah hati saya merayu agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama memainkan peranan agar lesen perjudian ini dibatalkan serta merta. Saya sering mengingatkan diri saya sendiri pangkat, kedudukan dan kemewahan di dunia ini adalah sementara sahaja. Kita semua akan menghadapi-Nya jua suatu masa nanti. Semua pihak akan dipertanggungjawabkan di mahkamah Allah Khadi Rabbul Jalill.


Saya yakin kita sama-sama akan berpegang kepada peringatan Allah melalui firman-Nya:


“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah mu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung” an-Nahl 16:116.


Akhir sekali, saya memohon agar Yang Berhormat Dato’ memikirkan juga apakah akibat yang akan berlaku jika kemungkaran judi ini diteruskan oleh pihak yang berkuasa. Saya, Dato’ dan kita semua tidak mahu azab Allah turut terkena ke atas Malaysia yang tercinta ini kerana kealpaan dan kederhakaan kita. Sabda Nabi SAW,


“Allah tidak menghukum suatu bangsa kerana kesalahan beberapa orang di antara mereka, sampai mereka melihat kemungkaran (dilakukan) di antara mereka, sedangkan mereka mampu menghentikannya, tetapi mereka tidak menghentikannya. Apabila mereka berbuat seperti itu (tidak menghentikan kemungkaran), maka Allah akan mengazab (orang yang melakukan kemungkaran) secara khusus dan (bangsa itu) secara keseluruhan” [HR Ahmad].


Saya akan menyokong siapa sahaja sama ada individu mahu pun mana- mana organisasi yang menentang segala bentuk perjudian di negara tercinta ini. Saya berdoa agar seluruh rakyat Islam bangkit bersama menentang sekeras-kerasnya perjudian ini kerana cintakan bangsa, negara dan agama adalah teras kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.


Untuk yang Berhormat Dato’ saya ucapkan terima kasih atas kesudian membaca seterusnya meneliti isi surat ini. Semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah buat kita untuk menjalankan amanah-Nya sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Amin.


Sekian. Wassalam.


Yang benar,

TAMRIN TUN GHAFAR

(Anak Bekas Timb. Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar bin Baba)

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online