Friday, October 7, 2011

Memaknai Hubungan Ulama & Politik (Menurut Perspektif Islam).


Fahamilah Islam berbeza dengan sistem politik sekular. Politik dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah siasah yang mengandungi erti mengurusi urusan, melarang, memerintah (Kamus Al Muhith, dalam kata kunci 'Sasa'). Nabi S.A.W menggunakan istilah politik (siasah) dalam hadis, "Adalah Bani Israel, mereka diurusi urusannya oleh Para Nabi (tasusu-hum Al-Anbiya). Ketika seorang Nabi wafat, Nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada Nabi setelahku, namun akan ada banyak Para Khalifah (ketua negara)" (Sahih Muslim).

Maka politik mengandungi urusan umat. Berkecimpung dalam dunia politik bererti memperhatikan keadaan kaum Muslimin dengan cara menghilangkan kezaliman penguasa dan melenyapkan kejahatan kaum kafir atas mereka. Bila dilihat dari hubungan antara makna ulama dengan makna politik maka semestinya ulama dan politik Islam tidak dapat dan tidak boleh dipisahkan. Ertinya, ulama harus mengurusi urusan umat atas dasar Islam.

Abu Nu'aim menyatakan bahawa Nabi bersabda, "Dua golongan manusia yang apabila keduanya baik maka baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rusak maka akan rusaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan penguasa". Oleh kerana itu, ulama harus berperanan dalam rangka kebaikan masyarakat, termasuk meluruskan penguasa.


Di antara aktiviti politik ulama adalah:
  • Membina umat. Ulama terus melakukan pembinaan di tengah-tengah umat sehingga muncul orang-orang yang berkeperibadian Islam. Umat dibina perilakunya dengan selalu dikaitkan dengan akidah dan syariah.
  • Membangun kesedaran politik umat (wa'yu siyasi), iaitu kesedaran umat tentang bagaimana mereka memelihara urusannya dengan syariat Islam. Bahkan, boleh jadi ulama menjadi penguasa. Kerana sebagian mufassirin memaknai Ulil Amri dalam surah An Nisa ayat 59 sebagai ulama.
  • Memuhasabah penguasa. Imam Al Ghazali menyatakan, Dahulu para ulama memuhasabah dan menjaga penguasa untuk menerapkan hukum Allah Taala adalah tradisi bagi mereka. Mereka mengikhlaskan niat sehingga nasihatnya membekas dihati. Namun, sekarang terdapat penguasa yang zalim namun para ulama hanya diam. Andaikan mereka bicara, nasihat mereka pula berbeza dengan perbuatannya sehingga tidak mencapai hasil yang diharapkan. Kerosakan masyarakat itu akibat kerosakan penguasa, dan kerosakan penguasa akibat kerosakan ulama. Adapun kerosakan ulama akibat digenggam cinta harta dan jabatan. Sesiapapun yang digenggam cinta dunia nescaya tidak akan mampu menguasai kerikilnya, apalagi untuk mengingatkan para penguasa dan para pembesar(Ihya 'Ulumuddin, juzuk 7, hal:92).

Berdasarkan hal di atas jelaslah bahawa ulama menjalankan politik Islam,
iaitu mengurus urusan masyarakat dengan Islam.

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online