Tuesday, November 1, 2011

Natijah Perang Ahzab : Strategi & Gerak Kerja


Di dalam peperangan Khandak yang juga dikenali sebagai perang Ahzab, Nabi Muhammad S.A.W bersama Para Sahabat merangka pelbagai strategi dan gerak kerja, bukan hanya duduk bersahaja menunggu mukjizat ‘Ababil’ dari Allah Taala. Sekalipun pada waktu itu mereka dikepung, jumlah mereka sedikit dan sumber makanan dicatu. Tetapi hal itu tidak menyebabkan mereka putus harap, malah berusaha mencapai kemenangan.

Para Sahabat tidak sekadar bermesyuarat dan mencetuskan gimik-gimik strategi, tetapi gerak kerja adalah kesinambungan dari kemenangan dalam peperangan tersebut. Tiada elemen-elemen perkauman dan nasionalis, apabila cadangan Salman yang berbangsa Farsi itu diangkat Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat sebagai strategi kemenangan.


Kaum Muslimin dibahagikan kepada beberapa kelompok, tiap-tiap 10 orang ditugaskan menggali parit sepanjang 40 hasta. Semuanya berusaha menggali kawasan masing-masing dengan penuh kesungguhan dan Baginda S.A.W turut merangsang dan menyertai mereka.

Tiada seorang musyrikin-pun yang mampu melepasi jarak parit tersebut kecuali semuanya terbunuh dek panah yang meluncur laju dari busur tentera Muslimin. Para tentera Muslimin pula dengan sabar menanti kesilapan yang bakal dilakukan oleh musuh-musuhnya, sekalipun pada waktu itu mereka sengsara menahan kelaparan.
Manakala Nu'aim bin Mas’ud dari Bani Ghatafan (salah satu kabilah Yahudi) yang telah masuk Islam tanpa pengetahuan kaumnya, telah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk memporak-perandakan musuh dengan kecerdikan dan tipu-muslihat. Bangsa Ghatafan di-domba oleh Nu’aim agar meragui kafir Quraish, sebaliknya bangsa Quraish turut dihasut supaya tidak percaya kepada Bani Ghatafan sehingga menyebabkan mereka saling curiga-mencurigai.

Kata Rasulullah S.A.W kepada Nu’aim, “…Perdayalah mereka semampumu, kerana perang itu adalah muslihat dan tipu daya” (rujuk Al Bidayah wan Nihayah jilid 4 hal.13)

Selepas itu, Rasulullah S.A.W  mengadu kepada Allah, “Ya Allah! Tuhan yang menurunkan Al Quran, lakukan segera perhitungan, hancurkanlah tentera Ahzab. Ya Allah! Hancurkan mereka dan berilah kemenangan kepada kami”.

Doa Rasulullah S.A.W dijawab dengan deruan angin lintang, keras dan mencengkam, menghentam dan menerjah ruang gelita malam sehingga menyebabkan musuh Islam kelam-kabut dan takut dengan bayang-bayang sendiri. Akhirnya mereka mengundurkan diri dan generasi terbaik yang ditarbiyah Baginda Nabi ini menerima kemenangan dari Allah Taala.

Itulah ‘Ababil’ yang dikurniakan Allah kepada umat Baginda S.A.W setelah dibuktikan dengan ukiran usaha dan gerak kerja. Yakinlah umat Islam pasti menang, tetapi mestilah ia dilengkapkan dengan syarat-syarat kemenangan, “Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!


No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online