Saturday, February 18, 2012

Gaza Terancam Dengan Krisis Kesihatan


Gaza kini terancam dengan krisis kesihatan sehingga berpuluh-puluh jenis ubat-ubatan telah hilang daripada hospital termasuk kapas dan antiseptik.

Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz Nawi berkata, peralatan asas itu hilang dari inventori kerana sekatan yang tidak adil yang dikenakan ke atas pejuang-pejuang Hamas.

Menurutnya, berdasarkan kiriman sms yang diterima oleh beliau daripada pihak Hamas, sekatan tersebut dilakukan secara berterusan sebagai tekanan ke atas pejuang-pejuang Hamas demi kepentingan politik Mahmoud Abbas.

"Harapan kami adalah kepada Allah, kemudian kepada saudara-saudara kami untuk bersama dengan kami dalam menghadapi krisis politik ini," katanya memetik kiriman sms tersebut kepada Harakahdaily, di sini.

Berdasarkan kiriman sms itu juga, jelasnya, Gaza ternyata  amat memerlukan bantuan seluruh umat Islam sekarang khususnya rakyat negara ini.

"Bantuan yang diperlukan itu merangkumi segala aspek yang melebihi daripada bentuk-bentuk bantuan biasa," tegasnya.

Kerumitan yang dialami oleh penduduk Gaza sekarang, tambahnya, menjadi lebih ketara apabila Gaza dibungkus kegelapan malam dan loji kuasa berhenti sepenuhnya sejak pagi Selasa lalu,

Beliau menjelaskan, keadaan itu menyebabkan umat Islam di Gaza kini perlu dibantu dengan segera oleh umat Islam dari negara lain bagi membolehkan mereka meneruskan hidup seperti biasa.

Untuk menyalurkan bantuan kepada umat Islam di Gaza sekarang, tambahnya, memang rumit disebabkan sekatan tersebut, tetapi usaha-usaha untuk membantu mereka tetap perlu dilakukan dengan apa cara sekalipun.

Kepada mereka yang tidak berupaya membantu mereka dengan cara lain, paling tidak berdoalah untuk keselamatan dan kesejahteraan hidup mereka.

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online