Thursday, October 11, 2012

Dari Tangan Mereka PALESTIN Dibebaskan

 
Pada tahun 636 M seramai 41’000 tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al Walid, berjaya menewaskan 70’000 tentera Rom yang terkenal dengan kelengkapan artileri. Kekalahan tentera Rom pada waktu itu yang dikenali dalam perang Yarmouk, telah membuka peluang kepada umat Islam menguasai Baitul Maqdis.

Kerajaan Rom ingin menamatkan penjajahan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota Al Quds kepada umat Islam. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang uskup gereja di Al Quds berkeras dan enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam kecuali Amirul Mukminin, Umar Al Khattab datang sendiri menemui rakyat Illiya’ dan mengambil kunci dari tangannya sendiri. Di sinilah hikayat agung pembukaan Kota Al Quds yang diukir Sahabat Rasulullah S.A.W yang digelar Al Faruq, Umar al Khattab.

Setelah bermesyuarat, Umar-pun berangkat dari Madinah ke Palestin dengan hanya menaiki seekor unta dan ditemani oleh seorang khadamnya sahaja.

Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya yang akan memandu pedati unta tersebut. Manakala jika khadamnya naik unta, Umar pula yang akan berjalan menjadi pemandu permusafiran itu. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga tiba di Kota al Quds.
 
 
Apabila Kota al Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar Umar terus mengambil kedudukan di atas pelana unta, sementara dia yang akan memandu unta tersebut. Tetapi Umar melarang dan mengarahkannya agar terus mengikut tempoh gantian yang telah disyaratkan sejak berada di Madinah. Dan kebetulan saat mereka berdua hampir ke gerbang Kota Al Quds, ia adalah giliran Umar memandu unta tersebut. Saat itu rakyat Illiya’ yang majoritinya beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah.

Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan di raja, permaisuri dan gundik-gundik yang sudah menjadi kemestian mereka. Tetapi Umar sebagai khalifah Islam, yang berjaya mengurus tenteranya menundukkan Rom, datang dengan baju yang lusuh dan bertampal, manakala kedua-dua kakinya dipenuhi debu pasir.

Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat kerendahan Umar sekalipun kuasa pemerintahan terbuka luas di tangannya. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi kerajaan dan namanya, sebaliknya Umar hanya ditemani oleh seorang khadam dan unta yang dipandunya Umar sendiri.

Mereka merasakan perbezaan yang sangat ketara antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini. Lalu seluruh rakyat Iliya’ di Kota Al Quds itu memberikan penghormatan kepada Umar sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar berteriak keras, “Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini kecuali kepada Tuhan”.

Terpegun Sophronius melihat kesederhanaan Khalifah, lalu dia berkata, ”Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas”.

Khalifah Umar kemudiannya menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi dari Sophronius. Kemudian Umar mengikat jaminan aman kepada penganut Kristian Iliya’ yang ingin tetap tinggal di Jerusalem.

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Inilah perdamaian yang diberikan oleh hamba Allah Umar, Pemimpin Negara Islam kepada rakyat Iliya'. Islam menjamin keamanan rakyat Iliya’, keselamatan harta benda , gereja-gereja, salib-salib, mereka yang sakit mahupun yang sihat dan seluruh keyakinan aliran agama mereka. Tidak boleh mencerobohi gereja mereka mahupun memusnahkan, mengurangi (melakukan rampasan) mahupun menghilangkan sama sekali…”

Genap 10 hari Saidina Umar bersama tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al Quds dengan aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan doa kesyukuran kepada Allah Taala. Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis.

Lalu salah seorang bertanya kepada Umar, “Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”

“Iya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringatkan Baginda Nabi S.A.W pernah bersabda… - Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada kalian sebagaimana diperolehi oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan...” [ Sahih Muslim ]

Setelah itu, Umar kembali bersama khadamnya menuju semula ke Madinah. Datang dan perginya Khalifah Umar, hanya berperawakan seperti musafir biasa dan rakyat jelata. Inilah sifat peribadi tokoh yang mampu membebaskan Palestin, mereka adalah orang yang zuhud (memanfaatkan dunia seadanya, tidak melampau atau berlebih-lebihan) dalam semua perkara.


 

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online