Monday, October 15, 2012

Dari Tangan Mereka PALESTIN Dibebaskan: Sultan Salahuddin Al Ayyubi


“…This is what the Lord Almighty says, ‘I will punish the Amalekites for what they did to Israel when they waylaid them as they came up from Egypt. Now go, attack the Amalekites anda totally destroy everything that belongs to them. Do not spare them; put to death men and women, children an infants, cattle and sheep, camels and donkeys’.” – Samuel I 15:3, International Version

Berikut adalah paragraf Bible yang diimani para tentera Salibiyyah ketika melumatkan penduduk Islam di Palestin pada 7 Jun 1099 M (493 H). Amalekites ataupun disebut ‘Amlaaq’ di dalam bahasa Arab, disifatkan sebagai golongan anti-Semitism. Mereka yang menanggung gelaran itu berhak dirampas haknya, dirosakkan bangunan dan penginapannya serta segala harta milik kaum Muslimin terutamanya dihancurkan, tidak kira samada mereka itu lelaki, wanita, kanak-kanak mahupun warga emas. Semuanya dibelasah, dibantai dengan jiwa rakus penuh kekejaman.

Ketika perang Salibiyah berlaku pada tahun tersebut, diangggarkan 40’000 kaum Muslimin yang terbunuh, dan dengan megah Godfrey of Bouillon menegakkan Ordo Sion di bumi Palestin. Peranan yang dimainkan Godfrey telah berhasil mengangkat adiknya, Baldwin I sebagai Raja Jerusalem pertama setelah rampasan kota suci tersebut dari tangan Muslim. Berita kemenangan Godfrey itu dikhabarkan sehingga mereka terpaksa merenangi lautan darah apabila deretan gelumang mayat umat Islam dibunuh setinggi kaki kuda.

Keserakahan Salibiyyah di bumi Palestin kemudiannya dihentikan oleh Salahuddin Al Ayyubi (1169-1193 M) pada 583 H di dalam peperangan Hittin. Tentera Salibiyyah yang dibidak Guy The Lusignan dan Reynald The Chatillon mengalami kekalahan teruk dan sangat memalukan.

Namun, apa yang yang dilakukan oleh Salahuddin Al Ayyubi sangat berbeza dengan apa yang pernah dilakukan oleh Godfrey, peristiwa pembantaiannya terhadap penduduk Palestin 90 tahun sebelum ini. Setelah Jerusalem berjaya ditawan tentera Islam, Salahuddin diancam oleh Balian, Baron of Ibelin yang telah kalah dalam pertempuran itu untuk membunuh keluarga mereka sendiri, haiwan ternakan, membunuh 5’000 orang Islam yang ditawan, meruntuhkan kubah batu (Doom of the rock) dan juga Masjidil Aqsa.

Setelah Salahuddin mendengar hujjah dungu kekalahan Balian, seraya beliau bertanya kepadanya, “Adakah kaum wanita, kanak-kanak yang tidak berdaya hendak juga kamu bunuh?!!”
Mengingatkan ancaman Balian itu, Salahuddin Al Ayyubi menawarkan kepada orang-orang Kristian di Palestin, “Jika tentera Salib menyerah, mereka dan seluruh keluarga termasuklah harta-harta mereka boleh meninggalkan Jerusalem dalam tempoh masa 40 hari”.

Hal itu mengejutkan Balian, walaupun sebelum ini tentera Salibiyyah yang pernah dipimpin Godfrey membunuh puluhan ribu orang Islam setelah berjaya merampas Palestin, tetapi Salahuddin tetap memberikan peluang kepada tebusan-tebusannya tanpa menaruh rasa dendam untuk membalas perbuatan Godfrey.

Salahuddin memberi peluang membebaskan mereka dengan wang tebusan bagi seorang lelaki sebanyak 10 dinar, wanita 5 dinar dan kanak-kanak 1 dinar. Wang tebusan itu adalah harga kemerdekaan yang paling murah pernah dilakukan, malah Salahuddin menetapkan bahawa seluruh jumlah wang tersebut akan digunakan untuk membangunkan semula Jerusalem yang telah musnah. Lalu berbondonglah para bangsawan dan panglima tentera Salib keluar dari Jerusalem, mereka keluar dari kota itu tanpa mempedulikan nasib yang menimpa kepada para pengikut mereka sebelum ini yang tidak mampu membayar wang tersebut walau dengan jumlah 1 dinar.

Apabila Salahuddin Al Ayyubi mengetahui masih ada yang tidak mampu membayar dengan jumlah yang ditawarkan itu, maka Salahuddin kembali mengumumkan bahawa sesiapa yang miskin akan dibebaskan tanpa bayaran. Keluarlah mereka beramai-ramai dari pintu St. Lazarus dari pagi sehingga ke malam bersaksikan keadilan yang dimiliki oleh Sultan yang beragama Islam itu.

Keluhuran akhlak dan kecintaan Salahuddin Al Ayyubi kepada kedamaian begitu mendalam walaupun beliau sendiri merupakan panglima perang, tetapi jalan peperangan bukanlah jalan yang ditagih, sebaliknya perang dilakukan adalah kerana cintanya untuk mempertahankan Islam.

Di Mesir, Salahuddin membina sebuah benteng tebal yang kukuh dan panjangnya lebih dari satu kilometer. Di Dimashq, beliau telah mendirikan rumah pemeliharaan bagi orang-orang miskin. Demikian juga di Sudan, Yaman dan lain-lain negara yang pernah ditadbirnya terdapat banyak bangunan kebajikan untuk rakyat. Tetapi ketika akhir hayat Salahuddin, sultan yang pernah mengepalai negara dari Syam sehingga ke Afrika itu hanya meninggalkan 1 dinar dan 36 dirham. Tiada sebutirpun emas, sebidang kebun atau tanah yang mampu diwariskannya. Sehinggakan peruntukan untuk membeli kain kafan-pun merupakan hasil sumbangan menteri kerajaannya. Ternyata Panglima besar ini, Salahuddin tidak memikirkan sama sekali harta untuk dirinya. Semua tenaga dan harta miliknya dicurahkan untuk perjuangan di jalan Allah semata-mata.
 
 
 

No comments:

Post a Comment

 

blogger templates | Make Money Online